Ahad, 7 November 2010

Istihadah Dan Hukum-Hukumnya


Oleh: Syaikh Muhammad al-Shalih al-‘Utsaimin

al-Firdaus.Com

Istihadah Dan Hukum-Hukumnya

Istihadah (الاستحاضة) ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.

Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”

Dalil bagi kes kedua, yakni darah keluar dengan terputus sekejap ialah kisah Himnah binti Jahsy radhiallahu 'anha yang datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al-Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi) mensahihkannya.]

Terdapat tiga cara bagi membezakan antara darah haid dan istihadah:

Pertama:

Wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya). Maka baginya hukum haid dalam masa yang tetap tersebut dan hukum istihadah bagi waktu selainnya.

Contohnya ialah seorang wanita yang lazimnya didatangi haid selama enam hari bermula awal setiap bulan. Kemudian (pada satu bulan) dia mengalami pendarahan yang berterusan. Maka pendarahan enam hari yang pertama bermula dari awal bulan dikira sebagai haid manakala hari-hari selebihnya dikira sebagai istihadah.

‘A’isyah radhiallahu ‘anha menerangkan bahawa Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sesungguhnya aku didatangi istihadah, maka aku tidak suci. Adakah aku perlu meninggalkan solat?”. Rasulullah menjawab: “Tidak, sesungguhnya itu ialah ‘irq (penyakit). Tinggalkan solat pada kadar haid yang kebiasaan bagi kamu, kemudian hendaklah kamu mandi dan dirikan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 325 (Kitab al-Haid)]

Hal yang sama pernah berlaku kepada Umm Habibah binti Jahsy radhiallahu ‘anha dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada beliau:

“Duduklah (dalam keadaan haid) sekadar mana yang pernah kamu alami dari hari-hari haid kamu (yang biasa), kemudian hendaklah kamu mandi dan solat”. [Shahih Muslim – no: 334 (Kitab al-Haid)]

Kesimpulannya, bagi wanita yang memiliki masa haid yang tetap (tempoh dan putarannya), hendaklah dia mengira masa haidnya mengikut kebiasaan. Jika ada pendarahan pada hari-hari seterusnya, hendaklah dia mandi dan solat mengikut ukuran masa haidnya yang biasa. Tidak perlu diberi perhatian kepada pendarahan pada hari-hari seterusnya kerana itu adalah istihadah.

Kedua:

Wanita yang tidak memiliki masa haid yang tetap atau diketahui (tempoh dan putarannya). Contohnnya darah yang keluar secara berterusan sejak awal. Maka baginya dibezakan antara darah haid dan darah istihadah dengan memerhatikan sifat-sifat darah tersebut. Darah yang berwarna hitam (merah kehitaman) dan/atau pekat dan/atau berbau, ia adalah darah haid. Selainnya adalah darah istihadah.

Sebagai contoh, seorang wanita yang mengalami pendarahan secara berterusan. Akan tetapi pada hari kesepuluh kelihatan perbezaan sifat darah:

q Sehingga hari kesepuluh darah berwarna hitam (merah kehitaman) manakala selepas itu ia berwarna merah. Maka darah yang berwarna hitam adalah haid, darah yang berwarna merah adalah istihadah.

q Sehingga hari kesepuluh darah bersifat pekat manakala selepas itu menjadi cair. Maka darah yang pekat adalah haid, darah yang cair adalah istihadah.

q Sehingga hari kesepuluh darah memiliki bau manakala selepas itu tiada lagi bau. Maka darah yang berbau adalah haid, darah yang tidak berbau adalah istihadah.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha:

“Apabila darah itu adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali, justeru hendaklah kamu menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah) selain itu maka hendaklah kamu berwudhu’ dan mendirikan solat kerana sesungguhnya ia adalah (darah) penyakit.” [Sunan Abu Daud – no: 247 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Nasa’i dengan disahihkan oleh Ibn Hibban dan al-Hakim]

Hadis di atas memiliki perbincangan dari sudut sanad dan matannya, akan tetapi para ilmuan rahimahumullah telah beramal dengannya. Bahkan ia adalah lebih utama daripada membiarkan persoalan ini kepada adat kebiasaan wanita.

Ketiga:

Wanita yang tidak memiliki masa (tempoh dan putaran) haid yang tetap dan tidak juga memiliki sifat-sifat darah yang dapat dibezakan antara haid dan istihadah. Maka baginya masa haid diukur berdasarkan kebiasaan wanita, waktu selebihnya dikira sebagai istihadah.

Sebagai contoh, wanita yang menghadapi kes ketiga ini melihat darah keluar secara berterusan bermula pada hari Khamis yang pertama dalam bulan tersebut. Maka hendaklah dia melihat kebiasaan para wanita lain yang menghampirinya dan menjadikan tempoh haid mereka sebagai ukuran ke atas dirinya. Jika pada kebiasaannya mereka didatangi haid selama enam atau tujuh hari, maka demikianlah juga ukuran ke atas dirinya. Oleh itu enam atau tujuh hari yang pertama pendarahan, bermula daripada hari Khamis, dianggap sebagai haid. Hari-hari seterusnya dianggap sebagai istihadah.

Hadis berikut menjadi rujukan dalam kes ketiga ini. Himnah binti Jahsy radhiallahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang amat banyak, apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku daripada mendirikan solat dan puasa.”

Rasulullah menjawab: “Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”

Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa.” [Sunan Abu Daud – no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih]

Sabda Rasulullah: “Enam atau tujuh hari” bukanlah penetapan tetapi ijtihad. Oleh itu hendaklah setiap wanita yang menghadapi kes ketiga ini berijtihad akan satu tempoh haid yang sesuai baginya. Ijtihad dibuat dengan merujuk kepada tempoh haid yang lazim dihadapi oleh para wanita lain yang menghampiri dirinya, seperti daripada keluarga atau adik beradik yang sama, rakan-rakan yang sebaya umurnya dan lain-lain lagi.

Demikian tiga cara yang paling lazim bagi membezakan antara darah haid dan istihadah. Sebagai penjelasan tambahan, kadang-kala berlaku pendarahan yang disalah anggap sebagai istihadah. Kesalahan ini boleh berlaku dalam dua kes:

Pertama:

Wanita yang mengetahui dengan jelas bahawa dia tidak akan didatangi haid lagi, seperti setelah melakukan pembedahan yang melibatkan pemotongan atau ikatan rahim. Maka baginya, yang mengalir keluar bukanlah istihadah tetapi al-Sufrah (cecair kekuningan) dan al-Kudrah (cecair kekeruhan antara kuning dan hitam) atau basahan. Maka hendaklah dia mendirikan solat dan puasa, serta boleh bersetubuh dengan suaminya. Dia tidak diwajibkan mandi (mandi wajib) kerana darah yang keluar tersebut.

Akan tetapi hendaklah dia membasuh faraj serta mengikatnya dengan kain supaya dapat mencegah darah daripada mengalir keluar. Bagi setiap solat fardhu, hendaklah dia berwudhu’ sesudah masuk waktu kemudian terus bersolat. Bagi setiap solat sunat, hendaklah dia berwudhu’ apabila sahaja hendak mendirikannya.

Kedua:

Wanita yang tidak tahu secara jelas sama ada dia akan didatangi haid atau tidak. Maka baginya, pendarahan yang berlaku dianggap sebagai haid dan istihadah, dibezakan dengan tiga cara yang telah disebut di atas.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy:

“Sesungguhnya yang demikian itu ialah ‘irq (penyakit) bukanlah darah haid maka apabila datang haid maka hendaklah kamu meninggalkan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 306 (Kitab al-Haid)]

Sabda Rasulullah: “…Maka apabila datang haid…” menjadi petunjuk yang membezakan antara haid dan istihadah. Maka bagi seorang wanita yang mungkin baginya untuk datang haid, maka hendaklah dia membezakan antara haid dan istihadah sepertimana tiga cara yang disebut di atas. Bagi wanita yang tidak mungkin didatangi haid maka yang wujud hanyalah ‘Irq (penyakit) dalam apa jua keadaan sekalipun.

Hukum-Hukum Istihadah.

Sebelum ini dalam Bab 4 kita telah bahas hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang sedang haid. Kini kita akan bahas pula hukum-hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang beristihadah. Apabila seorang wanita telah memastikan bahawa dia sedang mengalami pendarahan istihadah dan bukan haid, maka hukum-hukum yang diwajibkan ke atasnya adalah sama sepertimana wanita yang suci kecuali dalam tiga perkara berikut:

Pertama:

Wanita yang beristihadah wajib berwudhu’ setiap kali hendak solat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu 'anha di dalam Shahih al-Bukhari – no: 228: “Kemudian hendaklah kamu berwudhu’ pada setiap solat.” Hadis ini memberi makna bahawa dia tidak berwudhu’ untuk solat yang berwaktu kecuali selepas masuk waktunya. Adapun bagi solat yang tidak berwaktu (solat sunat) maka dia berwudhu’ ketika hendak melaksanakannya.

Kedua:

Apabila wanita yang beristihadah hendak berwudhu’, hendaklah dia membasuh kesan darah dan mengikat farajnya dengan cebisan kain yang dilapik dengan kapas supaya dapat menahan darah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada Himnah radhiallahu 'anha:

“Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”

Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.

Rasulullah bersabda: “Maka hendaklah kamu mengekangnya (mengikatnya)….” [Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih]

Apa yang keluar (apa-apa pendarahan) selepas itu tidaklah memudaratkan (tidak membatalkan wudhu’) berdasarkan hadis berikut riwayat Ahmad dan Ibn Majah:

“Wahai Rasulullah, Sesungguhnya aku seorang wanita yang mengalami istihadah sehingga aku tidak suci, apakah aku patut meninggalkan solat? Tidak, hendaklah kamu jauhi solat pada hari-hari haidmu (sahaja) kemudian hendaklah kamu mandi dan berwudhu’ untuk setiap solat kemudian dirikanlah solat walaupun darah menitis jatuh ke atas tikar.” [Musnad Ahmad – no: 25681 dan disahihkan oleh Syu‘aib al-Arnauth]

Ketiga:

Bersetubuh, maka para ilmuan berselisih pendapat mengenai kebolehannya. Pendapat yang sahih adalah ianya harus (dibolehkan) tanpa sekatan berdasarkan sebab-sebab berikut:

  1. Merupakan satu kelaziman bagi para wanita pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengalami istihadah. Akan tetapi Allah dan Rasul-Nya tidak pernah menegah para suami daripada menyetubuhi isteri mereka.
  2. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu. [al-Baqarah 2:222] Ayat ini menjadi dalil bahawa larangan bersetubuh hanyalah ke atas isteri yang sedang haid, tidak selain itu.

  1. Jika diharuskan solat bagi wanita yang beristihadah, maka sudah tentu diharuskan juga bersetubuh kerana bersetubuh adalah sesuatu yang lebih kecil berbanding solat.

Pendapat yang melarang bersetubuh mengqiyaskan wanita yang beristiadhah dengan wanita yang haid. Ini adalah qiyas yang tidak benar kerana wanita istihadah dan wanita haid adalah dua kes yang saling berlainan.

DISFUNGSI erektil (ED)


DISFUNGSI erektil (ED) sering dianggap sementara atau merupakan isu psikologi. Bagaimanapun, pengamal perubatan kini memberi amaran bahawa ED - subjek yang selalunya dipinggirkan, mempunyai implikasi mengancam nyawa.

Sekiranya rawatan gagal didapati, terdapat peningkatan bukti perubatan yang menunjukkan bahawa ED merupakan amaran awal kepada penyakit kardiovaskular.

Pakar perunding dan Ketua Unit Urologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zulkifli Md. Zainuddin menyokong fakta berkenaan.

Jelas beliau, kedua-duanya berkongsi punca yang sama dan salah satu penyakit vaskular adalah kardiovaskular atau penyakit arteri yang membawa risiko serangan jantung.

"Meskipun tidak semestinya semua lelaki yang mengalami ED menghadapi risiko penyakit jantung, namun kami sarankan pesakit mengambil langkah proaktif dan berjumpa doktor untuk mengenal pasti faktor-faktor risiko," katanya ketika menyampaikan ceramah Fungsi Ereksi pada Pelancaran Kempen Kesihatan Kardiovaskular, baru-baru ini.

Di Malaysia, secara purata dianggarkan tiga dalam lima lelaki (3:5) urban berusia 40 tahun ke atas mengalami masalah ED.

Insiden ini meningkat mengikut usia di mana ED turut didapati berlaku kepada satu dalam lima (1:5) lelaki berusia antara 50 dan 59 tahun, lelaki berusia 60 hingga 69 tahun (2:5) serta lelaki berusia 70 tahun ke atas (3:5).

Risiko

Menurut Dr. Zulkifli, mendapatkan bantuan rawatan ED bukan sahaja boleh mengurangkan risiko penyakit jantung malah mampu mengembalikan keyakinan diri, meningkatkan pencapaian seksual dan memulihkan hubungan dengan pasangan.

Aspek kekerasan dan tempoh ereksi merupakan pertimbangan yang diambil semasa rawatan.

Bagaimanapun bilangan pesakit ED yang tampil mendapatkan rawatan terlalu sedikit.

"Ramai yang menganggap ED sebagai masalah psikologikal, sementara, tidak serius atau sebahagian daripada proses penuaan.

"Apabila tidak berkongsi atau mendapatkan bantuan doktor, pesakit mengambil jalan mudah dan mencuba pelbagai jenis 'ubat kuat' yang boleh memudaratkan," kata beliau.

Tambahnya lagi, lelaki perlu meningkatkan pengetahuan mengenai ED dan memahami punca serta akibatnya terhadap kesejahteraan hidup mereka.

Sebenarnya, ereksi bermula dengan stimulasi deria atau mental. Impuls dari otak dan saraf berkaitan menyebabkan otot 'corpora cavernosa' berehat.

Ini membolehkan darah disalurkan dan mewujudkan tekanan dalam 'corpora cavernosa' sekali gus menjadikan zakar mengembang.

Sekiranya ereksi gagal dicapai dan dikekalkan dalam perhubungan seksual, maka seseorang itu dikatakan mengalami ED.

Punca

Terdapat beberapa penyebab fizikal ED. Bagaimanapun punca yang paling lazim ialah ke kurangan aliran darah ke zakar dan kerosakan saraf.

Simptom ini mencadangkan 'arteriosclerosis' (pengerasan dan pengecutan arteri) yang memperlahan atau mengurangkan penyaluran darah ke seluruh tubuh dan boleh menjurus kepada impoten (mati pucuk).

"ED boleh menjadi simptom kepada penyakit berterusan yang menjejaskan harga diri lelaki dan perhubungan dengan pasangannya, jika dibiarkan tanpa rawatan," ujarnya.

Tetapi, kata Dr. Zulkifli, ED perlu diambil serius kerana boleh menjadi petanda kewujudan dan 'serangan senyap' penyakit arteri koronari.

Secara purata ED muncul dua hingga tiga tahun sebelum simptom penyakit berkenaan. Jadi, jika pesakit mengalami masalah mendapat atau mengekalkan ereksi, dia perlu mendapatkan nasihat doktor.

Rawatan

Hari ini, ED boleh dirawat dengan terapi dan ubat-ubatan. Walaupun terdapat terapi ED boleh membantu mengembalikan ereksi dan ketegangan, pesakit perlu bertanya diri mereka adakah ia turut membantu mengekalkan ketahanan?

Kaji selidik Bayer Schering Pharma mendedahkan, pesakit menganggap ketahanan sebagai elemen utama untuk mencapai kepuasan normal.

Semasa kaji selidik itu, satu kajian Endurance atau ketahanan menggunakan pendekatan 'jam randik' bagi mengukur kekuatan pesakit ED dan jangka masa ereksi dengan tepat dijalankan.

Menerusi kajian itu, pesakit mengambil pil yang lazim digunakan untuk merawat ED bagi membantu melegakan otot serta meningkatkan pelepasan darah ke alat kelamin sewaktu stimulasi seksual.

"Hasilnya mendapati pesakit ED kini bukan sahaja menikmati kespontanan tetapi ereksi yang lebih memuaskan hati pasangan.

"Bahkan jangka panjang ereksi lelaki turut berjaya dicapai dan memuaskan pasangan masing-masing,'' katanya.

Isnin, 1 November 2010

PENYAKIT JIWA


APA DIA PENYAKIT JIWA?

Kita semua mempunyai gangguan emosi dalam menjalani liku-liku hidup ini tetapi mampu mengatasinya mengikut arus masa. Kerana beberapa sebab tertentu sebilangan daripada kita tidak mampu berbuat demikian dan ini akan memberi kesan terhadap kefungsian sosial di tempat kerja atau di rumah. Jika ini berlanjutan, golongan ini memerlukan bantuan dan mungkin menghidapi sejenis penyakit jiwa.

Penyakit jiwa adalah satu istilah yang merangkumi gangguan-gangguan jiwa yang mengakibatkan perubahan ragam, tingkah laku dan pemikiran seseorang.

Perkataan ‘gila’ adalah satu ungkapan hodoh dan tidak sesuai digunakan untuk pesakit-pesakit jiwa dan memberi gambaran seorang yang ganas dan merbahaya. Walhal keganasan lebih kerap dilakukan oleh orang mabuk jika dibandingkan dengan pesakit jiwa.

Anggapan-anggapan salah terhadap penyakit jiwa yang disimpan oleh orang ramai harus dikikis; kami berharap yang anda akan meneroka dengan lebih jauh mengenai penyakit jiwa.

APAKAH PUNCA PENYAKIT JIWA?

Lazimnya tidak ada suatu punca khusus yang menyebabkan penyakit jiwa. Biasanya sebab-sebab penyakit ini berpelbagai dan saling berkaitan. Antara lain mungkin :-

  1. Sebab-sebab fizikal: Contoh-contoh termasuk meminum terlalu banyak arak, salah guna naji dadah, kemalangan dan ketidakseimbangan biokimia dalam otak kita.
  2. Keturunan: Sebahagian penyakit jiwa mungkin diwarisi misalnya; terdapat 1:100 peluang untuk mengidap penyakit skizofrenia dalam masyarakat umum dibandingkan dengan nisbah 1:10 peluang jika salah seorang daripada orang tua anda mempunyai skizofrenia.

APAKAH JENIS-JENIS PENYAKIT JIWA?

Terdapat beberapa jenis penyakit jiwa dengan kelangsungan masing-masing. Ada yang boleh sembuh seperti sediakala dan ada yang memerlukan rawatan sepanjang hayat.

  1. Kegelisahan (Neurosis)
    Rasa mudah naik darah, tidak boleh menumpukan perhatian, tidak dapat tidur, merasa takut atau fobia, resah, gentar, sejuk tangan dan gejala-gejala badan yang lain.
  2. Penyakit kepiluan (Depression)
    Kadangkala kita merasa sedih, tidak berminat dalam aktiviti-aktiviti biasa, merasa lemah, sukar tidur dan tidak lalu makan, menangis tanpa sebab dan mungkin menyimpan rasa hendak bunuh diri terutama apabila mengalami kegagalan yang teruk atau kehilangan (misalnya kematian orang yang disayangi).

    Jika ini berlaku keterlaluan atau muncul tanpa sebab dan memberi kesan terhadap kefungsian harian kita, kita memerlukan bantuan.
  3. Psikosis
    Ini merupakan yang paling teruk. Walaubagaimanapun ianya jarang berlaku jika dibandingkan dengan jenis-jenis penyakit jiwa yang lain. Dalam kes ini, pesakit hilang perhubungan dengan alam nyata dan hidup di dalam alamnya yang tersendiri serta berkelakuan ganjil. Misalnya, dia mungkin mempunyai kepercayaan-kepercayaan yang tidak berasas, mendengar suara-suara yang tidak wujud, bersikap mundur atau bertutur tidak menentu. Biasanya pesakit tidak sedar bahawa dia sakit dan tidak mungkin mencari bantuan secara persendirian.

APAKAH YANG HARUS DILAKUKAN JIKA KITA MEMPUNYAI TANDA-TANDA MASALAH EMOSI?

  1. Pertama, hadapilah sendiri masalah berkenaan, cuba cari puncanya. Jika ianya masalah yang dapat diatasi sendiri, teruskan.
  2. Jika tidak, jangan merasa malu. Dapatkan pertolongan daripada seseorang yang sanggup mendengar seperti rakan, ahli keluarga, ahli agama atau perunding cara. Dengan meluahkan masalah sudah dapat mengurangkan sebahagian bebannya.
  3. Jika ini gagal atau anda merasakan bahawa masalah berkenaan adalah di luar keupayaan anda, mungkin doktor keluarga nada boleh membantu. Jika dia merasa bahawa anda memerlukan bantuan lanjut anda mungkin akan dirujuk kepada Pakar Sakit Jiwa.
  4. Rawatan mungkin di dalam bentuk kaunseling, terapi rundingan, pengubatan, terapi gerakan elektrik atau tinggal buat seketika di hospital sehingga tanda-tanda sakit beransur hilang.

BAGAIMANA MASYARAKAT BIASA BOLEH MEMBANTU?

Pertama sekali, perlu diingatkan bahawa pesakit-pesakit jiwa adalah manusia biasa seperti kita yang menghadapi masalah dan memerlukan bantuan. Sikap yang tidak ambil peduli, takut, salah anggap, memandang rendah dan penolakan terhadap pesakit jiwa merupakan masalah rumit yang dilemparkan masyarakat kepada pesakit jiwa.

Masyarakat lebih banyak mengancam pesakit jiwa daripada pesakit jiwa mengancam masyarakat. Sikap dan penerimaan kita mungkin merupakan faktor utama terhadap pemulihan pesakit jiwa.

Lymphatic Drainage Massage