Jumaat, 17 Februari 2012

Alahan penyebab resdung

ADAKAH anda sering mengalami bersin, selesema, mata gatal dan hidung tersumbat secara berterusan melebihi tempoh sebulan?
Jika keadaan begini berterusan, anda dinasihatkan berjumpa doktor bagi memastikan sama ada anda mengalami alahan hidung atau resdung.
Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Pembedahan Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Samril Bokari berkata, tanda-tanda alahan hidung berkenaan yang tidak dirawat akan membawa kepada sinusitis atau resdung.
“Biasanya tanda awal alahan hidung adalah selesema, bersin, hidung tersumbat serta muka dan mata yang gatal dan berair.
“Dalam keadaan begini tidak ramai yang mendapatkan nasihat dan rawatan doktor dengan alasan penyakit yang dihidapi tidak teruk,” katanya.
Sememangnya resdung tidak membawa kepada kematian tetapi memberikan kesan kepada gaya hidup dan keyakinan diri pesakit.
Alahan hidung berlaku apabila selaput hidup membran mukus, telinga tengah dan tekak membengkak kerana menghidu debunga, hama dan habuk serta perubahan cuaca.
Apabila itu berlaku, hidung akan bertindakbalas dengan benda asing menyebabkan simptom seperti selesema, bersin, gatal mata dan hidung berterusan.
Dr. Samril berkata, jika alahan hidung dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan komplikasi seperti rongga sinus tersumbat (terdapat lapan rongga sinus).
Rongga sinus yang bertindak untuk pengudaraan terhalang dan menyebabkan bakteria terperangkap, sinusitus dan nanah terkumpul.
Pesakit juga terdedah kepada jangkitan telinga tengah atau kegagalan Tiub Euschasian.
“Ketika itu pesakit akan merasa tidak selesa di muka, bendalir hijau meleleh dari hidung dan jika tidak dirawat akan menyebabkan jangkitan kuman di otak,” katanya.
Terdapat juga pesakit yang menghidap asma akibat alahan hidung yang berterusan kerana hidung dan paru-paru bersambung.
Rawatan awal boleh dilakukan menggunakan ubat bagi mengurangkan selesema dan semburan hidung yang berterusan sehingga sembuh.
Menurut Dr. Samril, sinusitis boleh berlaku kepada sesiapa saja, bagaimanapun risiko lebih besar jika ahli keluarga terdekat menghidapinya.
Alahan hidung biasanya berlaku pada usia muda antara 8 hingga 11 tahun sementara 80 peratus menghidapinya semasa berusia 20 tahun.
Ketika usia muda, alahan hidung lebih biasa berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan tetapi bila dewasa peratusannya lebih kurang sama.
“Sejarah pesakit amat penting dalam menilai alahan hidung.
“Elemen penting termasuk menilai persekitaran, tempoh simptom, tindak balas perubatan, sejarah keluarga dalam alergi dan pekerjaan,” katanya.
Sejarah berkenaan boleh membantu mengenal pasti punca dan penawar kepada alahan berkenaan.
Simptom berkaitan dengan bersin, gatal hidung, mata dan telinga, hidung berair, sakit kepala, mata merah dan letih.
Pastikan simptom berkaitan dengan alahan sama ada debunga, kulat, haiwan tertentu, habuk atau hama.
Biasanya struktur hidung akan bengkak dan jika penyakit parah maka ruang sinus akan mengandungi nanah.
“Pesakit akan diberikan antibiotik selama 10 hari hingga dua minggu.
“Biasanya pesakit yang mengambil ubat secara berterusan akan dapat mengawal alahan,” katanya.
Bagaimanapun jika resdung tadi bertambah parah, jalan terakhir adalah melalui pembedahan

Hilangkan jangkitan ruam lampin

RUAM lampin merupakan masalah kulit yang paling kerap dialami oleh kebanyakan anak kecil khususnya bayi.
Walaupun ia bukanlah penyakit berbahaya, namun terdapat sebahagian daripada ruam boleh menjadi serius sekiranya tidak diatasi dengan betul.
Ruam lampin lazimnya berlaku di sekitar bahagian yang ditutupi seperti punggung, kelangkang, paha dan kemaluan.
Kulit di sekitar bahagian-bahagian tersebut akan berbintik-bintik kemerahan dan merengsakan bayi.
Masalah ruam lampin biasanya terjadi apabila jangkitan bakteria dan kulat ataupun disebabkan alahan kulit.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan berlaku ruam di kalangan bayi. Antaranya apabila kulit bayi menyentuh air kencing yang disebabkan oleh pemakaian lampin dalam tempoh yang terlalu lama.
Ammonia yang dihasilkan air kencing akan mengganggu lapisan perlindungan kulit bayi dan menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan.
Selain air kencing , najis bayi terutama yang cair juga penyebab kepada keadaan menjadi ruam.
Najis sebenarnya amat merbahaya kepada kulit bayi kerana ia terhasil daripada makanan bayi dan juga ubat-ubat tertentu yang diberikan kepada mereka.
Punca lain ialah bahan kimia yang terdapat dalam sabun mandian bayi. Bagaimanapun terdapat juga jenis lampin pakai buang yang menyebabkan alergi pada kulit bayi yang sensitif.






sumber: utusan malaysia



Sindrom lelaki ‘menopaus’

Sindrom lelaki ‘menopaus’


Simptom lelaki yang menopaus ialah letih, cepat mendapat tekanan, sakit sendi, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani.


Soalan: BolehKAH Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?
*Jo, Kuala Lumpur
Saudara Jo,
Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza dengan wanita.
Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.
Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.
Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.
Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.
Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.
Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.
Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang lelaki dan pasangan mereka.
Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif dalam kehidupan seharian.






sumber: utusan malaysia

Lymphatic Drainage Massage