Isnin, 12 Mei 2014

PIRAH (TICKS)



PIRAH (TICKS)
Saya seringkali berhadapan dengan kes gigitan serangga “pirah” (ticks). Pirah adalah sejenis parasit yang suka menghisap darah. Ia biasa ditemui di kawasan yang beriklim panas dan lembap.

Tempat yang paling biasa digigit ialah di dalam lubang telinga. Pirah yang masuk di dalam telinga agak sukar untuk dibuang kerana ia melekat kuat pada dinding telinga. Ia akan bergerak masuk ke dalam telinga sekiranya disentuh. Oleh itu pesakit tidak dibenarkan untuk menyentuh serangga ini dan hendaklah mendapatkan rawatan dengan segera. 

Terdapat juga kes gigitan pirah di kelopak mata. Pernah beberapa kali saya temui kes dimana pesakit takut hendak datang lebih awal ke klinik kerana memikirkan mereka mendapat ketumbuhan pada kelopak luar mata. Mereka takut dibedah!! 

Saya juga pernah berhadapan dengan kes gigitan “pirah” di bahagian luar kemaluan. Pesakit tersebut pada mulanya ingin membeli ubat sapu di kaunter. Setelah dipujuk untuk berjumpa dengan doktor, barulah beliau bersetuju. Beliau hanya mengatakan gatal dan sedikit sakit di bahagian kemaluan dan menganggap mungkin disebabkan penyakit kurap. Saya terpaksa memujuknya untuk membuat pemeriksaan fizikal di tempat terbabit. Di dalam kotak fikiran saya, saya terbayangkan yang pesakit ini mungkin mengalami jangkitan kulit atau kayap. Rupa-rupanya, tanggapan awal saya salah setelah pemeriksaan terperinci dijalankan. Terdapat “pirah” yang agak besar di kawasan tersebut. Mungkin serangga ini sudah kenyang menghisap darah pesakit tersebut!!



1 ulasan: