Saturday, May 14, 2011

MASALAH JERAGAT



Atasi tompok ‘rama-rama’


SALINA sangat risau melihat tompokan hitam pada wajahnya. Kulit wajahnya yang putih bersih seakan tercela apabila tompokan hitam mula terbentuk. Di peringkat awal hanya sedikit kesan hitam terbentuk pada pipi Salina.

Dia membeli krim muka dan losen yang disyorkan oleh seorang kawan untuk mengatasi masalah tersebut. Salina gembira kerana penggunaan krim tersebut menampakkan hasilnya apabila kesan hitam menjadi semakin berkurangan. Bagaimanapun apabila penggunaan produk tersebut dihentikan kesan hitam timbul kembali malah menjadi semakin banyak. Akibat daripada tompokan hitam itu dia mula berasa rendah diri dan tidak mahu keluar rumah. Jika keluar rumah beliau menggunakan kosmetik yang tebal bagi menutup kekurangan itu.

Semasa bertemu Salina saya bertanyakan bila tompokan hitam itu mula muncul. Menurutnya dia perasan tompokan hitam itu semasa hamil anak pertama. Saya berpendapat kemungkinan masalah Salina berkait rapat dengan hormon yang tidak seimbang. Ia juga ada kaitan dengan melasma yang sukar dirawat kerana kedudukannya yang jauh ke dalam kulit. Melasma atau tompok hitam adalah sel-sel hidup yang membiak secara aktif. Ia mempunyai jalinan kapilari darah yang memberi nutrisi dan menghidupkannya. Jalinan kapilari darah ini membekalkan sel-sel melasma dengan oksigen dan zat yang diperlukan untuk hidup dengan aktif. Jadi adalah sukar untuk mengurangkan keaktifannya sekiranya kapilari darah ini membesar dengan aktif juga.

Oleh kerana ia berada di lapisan dermal iaitu lapisan kulit yang ke bawah maka masalah tersebut memang sukar untuk dirawat.

Apabila menyapu krim, krim hanya boleh meresap di permukaan atas dan tidak sampai ke lapisan bawah kulit. Sahabat saya yang terkenal dengan kepakaran mengendalikan laser iaitu Dr. Shaharom Sulaiman menyifatkan melasma seperti tahi lalat yang hidup di bawah kulit. Bagi saya amat sesuai juga andaian seumpama ini kerana neavus atau tahi lalat juga merupakan sekelompok melanocytes yang aktif dan mempunyai salur darahnya sendirinya. Oleh itu ia hidup sebagai sel yang tersendiri. Tahi lalat yang terlalu besar atau terlalu aktif eloklah dibuang kerana ia mempunyai risiko kanser .

Lelaki juga tidak dapat lari daripada melasma. Saya sering merawat beberapa pesakit lelaki yang bermasalah melasma. Melasma lebih aktif apabila seseorang bawah pancaran matahari.

Sel-sel aktif yang mengeluarkan pigmen hitam dinamakan melanocytes. Fungsi utama melanocytes adalah untuk mengeluarkan pigmen yang dinamakan melanin. Kehadiran melanin memberi warna kulit. Melanin juga bertindak sebagai penapis menghalang cahaya yang terlalu kuat yang boleh merosakkan kulit daripada masuk menembusi kulit kita. Oleh itu bagi mereka yang mempunyai banyak melanin warna kulitnya akan menjadi gelap apabila terdedah di pancaran matahari atau pergi ke tempat beriklim panas dan apabila ia berhijrah ke tempat beriklim sejuk atau menutupi kulitnya daripada matahari maka kulitnya kembali cerah. Dewasa ini terdapat krim pelindung matahari dan pil yang boleh diambil bagi melindungi kulit daripada matahari. Apabila kulit disapu pelindung matahari ia akan menebat atau menghalang kemasukan cahaya yang mengaktifkan melanocytes. Justeru bagi mereka yang terlibat dalam aktiviti yang sering terdedah kepada pancaran matahari, perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Pemakaian skrin matahari haruslah diamalkan setiap masa.

Rawatan yang sesuai bagi melasma ialah penggunaan krim mengandungi anti melanin. Suntikan transeminic dan pil mengandungi transeminic turut menghilangkan salur darah yang berada di bawah kulit. Apabila salur darah itu mengecut maka sel-sel melasma akan turut mengecut. Lama kelamaan melasma akan berkurangan. Penggunaan krim yang salah hanya akan menyebabkan melasma semakin ketara kerana sesetengah krim akan merangsang salur darah menjadi lebih aktif dan kulit menjadi lebih nipis menyebabkan melasma menjadi ketara.

Melasma yang mekar kelihatan seperti bentuk kupu-kupu yang gelap di kedua dua pipi.

Penggunaan laser bagi melasma harus dibuat dengan berhati hati kerana melasma memberi reaksi yang pelbagai apabila menggunakan laser. Sesetengah melasma menjadi lebih aktif apabila terkena laser manakala sesetengahnya pula boleh berkurangan. Oleh itu rawatan melasma haruslah sejajar dengan keputusan yang diperoleh. Penggunaan hormon juga penting kerana faktor kekurangan hormon turut menjejaskan dan membuatkan melasma menjadi aktif. Hormon yang dicadangkan ialah bioidentikal hormon yang mudah digunakan dan memberi kesan yang menyegarkan tubuh kita.

Tempoh rawatan bagi melasma sangat lama dan ada kalanya memakan masa berbulan bagi mendapat kesan yang baik. Setelah itu penggunaan krim anti melanocyte secara berkala adalah sangat penting bagi mengekangnya. Boleh dikatakan proses menentang melasma merupakan satu perjuangan seumur hidup juga. Ia menuntut disiplin dan kesabaran yang sangat tinggi

Melasma berbeza dengan pigmentasi epidermis yang mudah saja cara rawatannya. Saya menggunakan laser jenis pixel bagi memulihkannya dan mendapat hasil yang sangat menakjubkan. Pigmentasi pada epidermis adalah disebabkan oleh pengumpulan melanin pada kulit kita. Melanin adalah pigmen yang terdapat pada kulit. Apabila pigmen banyak maka kulit menjadi sangat gelap. Laser pula bertindak memecahkan melanin. Apabila melanin pecah ia akan dibuang sebagai bahan buangan dan di keluarkan daripada kulit kita. Hasil yang baik dapat diperolehi apabila kita merawat pigmen dengan laser kerana sifat pigmen melanin yang memecah dan boleh di keluarkan dari kulit.

Sekiranya anda menggunakan produk pencerah kulit yang mengandungi hydroquininone memang boleh membantu mengurangkan melasma namun apabila berhenti memakainya melasma pasti muncul kembali. Justeru itu produk itu perlulah dipakai secara berterusan. Pastikan anda berterus terang dengan doktor perihal produk yang anda gunakan kerana jika berhenti menggunakan produk akan mendatangkan kesan rebound terhadap melasma dan ini amatlah menyusahkan.

sebarang pertanyaan boleh:

Hubungi Marissa Esthetics Kota Bharu

Dr Nor Azlina

sumber: Marissa esthetics

1 comment: